Dalam biskut ada melamin...isu 2008 di Pulau Pinang


Biskut banyak melamin dilupus



Pegawai Jabatan Kesihatan
Daerah SPU menyaksikan kerja-kerja pelupusan biskut dan serbuk amonia
bikarbonat yang disahkan mengandungi kandungan melamin melebihi had
yang dibenarkan di tapak pelupusan sampah Ampang Jajar, Butterworth,
Pulau Pinang semalam.



BUTTERWORTH 17 Nov. - Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara
(SPU) hari ini melupuskan 12,000 kilogram biskut bernilai lebih
RM83,400 kerana didapati mengandungi bahan melamin melebihi piawaian
yang dibenarkan.
Proses tersebut turut membabitkan pelupusan 8,400 kilogram bahan
penaik amonia bikarbonat dari China yang digunakan oleh dua buah kilang
biskut di negeri bagi menghasilkan produk itu.
Pelupusan bahan berkenaan dibuat susulan pemantauan dan analisis
makmal yang dilakukan jabatan itu sejak September lalu terhadap empat
jenis biskut keluaran dua kilang terbabit.
Pegawai Jabatan Kesihatan SPU, Dr. Shaari Saad berkata, pihaknya
juga sudah mengarahkan dua kilang berkenaan menarik balik biskut-biskut
keluaran mereka dari pasaran untuk dilupuskan dalam masa terdekat.
''Kita sudah minta mereka (pengilang) supaya tidak memasarkan produk
yang dicemari bahan itu (melamin) dan biskut yang sudah dipasarkan pula
ditarik balik untuk dilupuskan.
''Setakat ini, dua kilang terbabit memberi kerjasama yang amat baik
dan akan melupuskan sendiri biskut berkenaan dengan pemantauan Jabatan
Kesihatan," katanya ketika ditemui di tapak pelupusan sampah Ampang
Jajar di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan baru-baru ini, melarang serta-merta
pengimportan bahan penaik amonia bikarbonat dari China berikutan bahan
itu didapati mempunyai tahap melamin melebihi piawaian yang dibenarkan.
Serentak itu, kementerian juga mengarahkan supaya 20 jenis biskut
yang dikenal pasti mengandungi bahan melamin ditarik balik dari pasaran.
Dr. Shaari berkata, pelupusan biskut dan bahan penaik tersebut dilakukan mengikut Akta Makanan 1983 pindaan 2001.
Menurut beliau, pihaknya sudah menjalankan pemantauan terhadap semua
jenis biskut di pasaran dan sehingga kini masih membuat pemeriksaan
rutin termasuk di kedai runcit dan pusat-pusat beli-belah.
Ditanya mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas pengilang
terbabit, Dr. Shaari berkata, kedua-dua pengilang berkenaan sudah
memberi kerjasama dengan baik untuk menarik balik produk mereka dari
pasaran sebelum melupuskannya.
''Mereka (pengilang) sebenarnya tidak mengetahui biskut yang mereka
hasilkan mengandungi melamin yang tinggi ekoran penggunaan amonia
bikarbonat berkenaan," jelasnya.

----Forum Paramedik Malaysia-----

No comments:

Post a Comment

ONE N ONLY ME..LIZZIE